Pages

Suku Kaum Indonesia Mendapat Alkitab Untuk Pertama Kali

Video: Suku Kaum Indonesia Mendapat Alkitab Untuk Pertama Kali

Video: Suku kaum Kimyal di West Papua,Indonesia menerima Alkitab (Perjanjian Baru) untuk pertama kali dalam bahasa mereka pada Mac 2010. Penduduk-penduduk Korupun menanti dengan sukacita, tarian dan tangisan kesyukuran sambil menanti pendaratan kapalterbang yang membawa Alkitab itu.







Kesaksian Brani Duyon (Bahagian 1): "Aku Dibawa Ke Syurga!"

Kesaksian Brani Duyon (Bahagian 1): "Aku Dibawa Ke Syurga!"


Sekitar Bulan Mei Tahun 2006, seorang hamba Tuhan telah dipanggil secara khusus ke Syurga untuk bertemu dengan Tuhan Yesus bagi mendapatkan “Wahyu Khusus” yang mengandungi Enam Pesanan.
Penatua Brani Duyon @ Efendie, 52 , bangsa Dusun, berasal dari Bayayat, Kota Belud, Sabah, Malaysia. Beliau pernah menjadi seorang Gembala Sidang di SIB Melangkap Baru, Kota Belud (Taginambur) beberapa masa. Kemudian menjadi Ketua Sidang di SIB Bayayat pada 2005-2006.
Berikut ini ialah kesaksian Brani Duyon:
Brani Duyon dari Sabah
Pada 21 April 2006, anak kami yang menetap di Semenanjung Malaysia telah memanggil kami dengan tujuan menghadiri majlis hari perkahwinan mereka. Tetapi baru seminggu berada di sana, saya tiba-tiba mengalami “stroke”. Saya terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Malaysia. Doktor memeriksa saya dan mengatakan ada sel-sel darah pada otak saya telah pecah dan perlu dibedah pada masa itu juga.
Saya telah ditempatkan di Bilik Unit Kawalan Rapi selama sebulan. Saya dalam koma tanpa sedarkan diri selama lebih dari 1 minggu. Pada masa itu ramai hamba-hamba Tuhan yang datang melawat, antaranya ialah Mantan Presiden Gereja SIB Sabah, Pastor Taipin Melidoi dan Timbalannya Pastor Datuk Arun Selutan, Bendahari Agung, Pastor Michael dan ramai lagi hamba Tuhan di Semenanjung datang mengunjungi dan mendoakan saya.
Pada suatu masa saya bermimpi ada hujan yang turun datang dengan lebatnya tetapi hairannya hujan itu hanya menuju ke arah saya sahaja. Saya mentafsirkan mimpi saya ini adalah jawapan doa-doa dari hamba-hamba Tuhan yang telah mendoakan kesembuhan saya. Puji Tuhan, dengan kuasa-Nya saya telah disembuhkan lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Pada minggu ke-3, bulan Mei 2006, tengah malam, saya merasa hairan kerana saya tidak dapat tidur sedangkan pesakit-pesakit yang lain sudah nyenyak tertidur. Ketika itu, hanyalah Yesus berada dalam fikiran saya dan saya teringat Firman dalam Yesaya 43:26 yang mengatakan “ingatlah akan Tuhan, marilah kita berperkara” dan ayat firman ini bermain-main dalam ingatan saya. Fikiran saya terus tertumpu kepada Tuhan Yesus. Dan saya merasakan bahawa Dia berada di sisi saya ketika itu.
Saya kemudian berdoa dalam roh. Selepas saya selesai berdoa saya mula untuk tidur namun masih tidak dapat juga. Lalu saya bersandar pada katil. Tiba-tiba saya merasakan ada seseorang yang menepuk bahu dan mengusap-usap kepala saya. Keadaan seperti ini berlaku agak lama. Selepas itu saya merasakan ada sesuatu yang mengalir yang luar biasa dalam tubuh kehidupan saya. Saya merasakan hal itu suatu belas kasihan seorang bapa terhadap anaknya.
Dalam hati saya teranya-tanya siapakah orang ini. Lalu saya berdepan dan bersemuka dengan mahkluk itu ternyata dia seorang perwatakan seperti lelakimuda yang kacak, sasa dan tinggi dengan berpakaian putih, rambut panjang mencecah bahu. Lalu saya bertanya kepadanya, “Adakah Kau ini Tuhan yang sentiasa saya fikirkan?” Tetapi dia tidak menjawab cuma mengeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Saya berkata lagi, “Jika engkau bukan Tuhan, siapakah engkau?”. Kini dia menjawab, “Akulah utusan dan dari Syurga atas perintah Yesus untuk datang kepadamu malam ini untuk membawa berita baik.”
Lalu saya sedar dia ini adalah Malaikat yang diutuskan oleh Tuhan. “Apakah khabar baik yang kau bawa untuk kau perdengarkan kepada saya?” saya bertanya lagi kepada Malaikat itu. Lalu kata Malaikat itu, “Malam ini saya diutus oleh Tuhan Yesus untuk menjemput engkau naik ke Syurga.” Jiwa saya terus jadi tenang dan damai walaupun dalam keadaan sakit. Saya merasa seolah-olah saya tidak mengalami kesakitan. Pada ketika itu juga saya sembuh apabila malaikat berkata akan membawa saya naik ke syurga. Lalu saya berkata kepada Malaikat itu, “Saya sedia mengikuti engkau pergi ke syurga, sebab saya teringin betul bertemu dengan Tuhan saya.”
'Saya melihat seekor kuda yang luarbiasa besar dan tingginya'
Ketika kami memulakan perjalanan saya terlihat tubuh saya yang terbaring di katil. Kami keluar dan sampai di luar Hospitalsaya melihat seekor Kuda yang luarbiasa besar dan tingginya. “Kuda inilah yang kita akan naiki,” kata Malaikat itu. Saya dibantu oleh Malaikat menaiki kuda itu kerana kuda itu sangat tinggi. Saya bertanya kepada Malaikat itu “Bolehkah kita sampai ke Syurga dengan menaiki kuda ini?” lalu Malaikat itu menjawab, “Tentu sekali, jangan takut dan jangan bimbang. Adakah kamu membaca Firman Allah ketika Nabi Elia diangkat oleh Tuhan?” tanya Malaikat itu. “Ya, saya ada membacanya, kereta yang datang menjemputnya ialah Kereta Berapi dan Kuda Berapi,” jawab saya. “Benar, inilah kuda itu” kata Malaikat itu.
Pada mula kami bertolak kuda itu hanya berjalan dengan perlahan-lahan, namun selepas kira-kira seratus meter kami berjalan, tiba-tiba kuda itu meluru laju dan dan bergerak dengan pantas sekali seolah-olah seperti disambar badai dan kuda itu tidak lagi menyentuh tanah tetapi terbang. Kami melintasi pergunungan namun semua gunung itu kelihatan rata kerana kami bergerak dengan kuasa Tuhan.
Selepas itu kami sampai ke satu padang yang sangat luas, subur, rumputnya hijau dan tidak ada yang kering (Mazmur 23:2 Raja Daud berkata “Dia membaringkan aku dipadang yang berumput hijau”). Lalu Malaikat itu memberhentikan kuda dan kami berjalan.
Kelihatan di hadapan kami sebuah Kerajaan Tuhan. Ketika kami berjalan di tengah padang ini saya mendengar loceng berbunyi. Saya bertanya kepada Malaikat itu “Apakah tujuan Bunyi Loceng itu?”. Malaikat menjawab, “Itulah loceng memanggil, menandakan seseorang telah datang”
Kami terus berjalan dan loceng terus berbunyi sehingga kami sampai di hujung padang dan kelihatan sebuah rumah yang sangat cantik dimana di atasnya terdapat lampu berkelip-kelip berwarna merah seperti lampu Trafik. Di tengah lampu itu terdapat angka ‘51’. Saya bertanya kepada Malaikat itu apakah ertinya. Malakat berkata, “Berapa umur kau sekarang?” ketika kejadian ini umur saya ialah 51 tahun “Itu adalah umur kau sekaligus nombor rumah kau” kata Malaikat itu. Saya sungguh merasa sukacita dan damai apabila mendengar penjelasan Malaikat itu dan melihat rumah yang Tuhan sediakan untuk saya.
Kelihatan di situ banyak rumah yang telah disediakan oleh Yesus bagi anak-anak Tuhan yang percaya dan mengikuti-Nya. Kami terus berjalan lagi dan sampai ke satu Pintu Gerbang yang dibuat dari Emas.
Kami teruskan perjalanan dan sampai ke sebuah rumah yang sangat besar. Ketika kami sampai di situ terdapat ramai orang berada dalam rumah itu. Saya percaya mereka ini adalah orang-orang kudus yang telah Tuhan pilih. Mereka sedang memuji Tuhan ketika itu. Kelihatan Yesus sedang duduk di atas tahktanya sambil orang-orang memuji dan menyembah Dia. Mereka semua memuji dengan segenap hati dan menari, mengangkat tangan dan bersujud dan melutut. Dalam hati saya berkata, ‘kalau beginilah cara ibadat orang-orang Kristian di Dunia tentu sangat senang sekali hati Tuhan.’
Kelihatan ramai yang menangis memuji Tuhan ketika itu. Saya lihat Yesus tersenyum melihat mereka khusyuk menyembah Tuhan. Yesus menaikan tangan mereka. Tangan mereka naikkan ke arah Yesus, dan Yesus juga mengangkat tangan memberkati mereka semua. Di akhir ibadah itu kelihatan Yesus berjalan- di tengah-tengah mereka dan Dia mengelap air mata mereka-mereka yang menangis. Lalu saya teringat seperti dalam Kitab Wahyu, ‘Apabila kamu berada di sana (syurga) nanti semua air mata akan dihapuskan’.
Kemudian Malaikat itu membawa saya masuk ke dalam berjumpa dengan Yesus. Dan Malaikat itu berkata kepada Yesus “Tuhan, inilah anak-Mu yang engkau pilih untuk dibawa ke sini”. Yesus berkata “Syabas! Anak-Ku engkau telah datang hari ini.” Kemudian Yesus memeluk saya dan saya menangis gembira dan damai kerana dapat bertemu Yesus. Jiwa saya bersukacita kerana dipeluk Yesus ketika itu. 

(Transkripsi dan Terjemahan dari VCD kesaksian oleh Alfred Chia dan Ryan LG) 

Surat Dari Seorang Wanita Kristian Iraq

Surat Dari Seorang Wanita Kristian Iraq


Beberapa hari yang lalu, aku terbaca surat ini di Facebook, ditulis oleh Rosene Salmo, seorang wanita Kristian yang berasal dari Iraq. Berikut ialah terjemahan surat tersebut, sila kongsikan dengan kawan-kawan anda.


Kepada: Semua Kristian di sekeliling dunia, sila kongsikan ini.


Nama saya ialah Rosene. Saya seorang pendatang dari Iraq beragama Kristian yang pada masa ini tinggal di Amerika Syarikat. Saya menulis sebagai respons kepada peristiwa yang sedang terjadi di Iraq dan penganiayaan yang dihadapi secara berterusan oleh orang-orang Kristian Iraq. Saya ingin mendedahkan apa yang sedang terjadi dan kongsikannya dengan dunia oleh kerana media menyekat banyak peristiwa yang sedang terjadi.

Keluarga saya, kawan-kawan dan saudara-saudara saya dalam Kristus sedang menderita oleh kerana apa yang sedang terjadi di kota Mosul (Niniwe). The Islamic State of Iraq and the Levant (ISIS) telah mengisytiharkan pada minggu pertama Julai memberikan orang-orang Kristian tiga pilihan (masuk Islam, Bayar Cukai yang tinggi atau mati) yang disertai dengan ancaman ngeri bahawa, jika mereka tidak mematuhi sebelum tengahari 19 Julai, "maka tidak ada apa-apa untuk diberikan mereka melainkan pedang."

Orang-orang Kristian meninggalkan Mosul dengan tergesa-gesa untuk menyelamatkan nyawa mereka, menuju wilayah jiran Kurdistan. Ribuan keluarga Kristian kehilangan kediaman, wang dan milik mereka. Rumah-rumah mereka telah ditanda dengan huruf N yang bererti Nasrani (Kristian) untuk menunjukkan bahawa orang-orang Kristian pernah tinggal di sana. Banyak gereja-gereja di kawasan itu, termasuk gereja-gereja yang bersejarah, telah dibakar sampai habis; Isis telah mencuri segalanya dan telah menurunkan semua salib dan gambar-gambar. 

Saya berasa hancur hati, tidak berharapan, dan terbatas dalam apa yang saya dapat lakukan untuk orang-orang Kristian Iraq, terutama mereka yang telah meninggalkan Mosul. Saya tidak akan meminta lebih daripada yang Yesus akan minta: berdoalah untuk mereka. Sebarkan berita mengenai kejahatan yang sedang dilakukan ke atas mereka. Sila kongsikan ini dengan masyarakat dan jemaat Kristian. Kuasa doa telah menyelamatkan orang-orang Kristian di Timur Tengah untuk bertahun-tahun. Ini adalah tanggungjawab kita untuk memberitahu dunia akan penderitaan saudara-saudara Kristian kita. 

"Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat." (Lukas 23:34)

Terima kasih kerana mengizinkan saya berkongsi ini dengan anda,



7 Perkara Menarik Mengenai Potret Yesus "Prince of Peace"

Potret Yesus bertajuk "Prince of Peace"

Potret Yesus yang bertajuk "Prince of Peace" telah menjadi lebih terkenal lagi selepas ditunjukkan dalam filem "Heaven Is For Real" yang telah ditayangkan di pawagam sejak April 2014. 

Berikut 7 perkara menarik mengenai potret "Prince of Peace" itu;

1. Potret itu telah dilukis oleh seorang anak gadis berusia 8 tahun. Pelukis muda, Akiane Kramarik telah melukis potret "Prince of Peace" pada tahun 2002 ketika dia hanya berusia 8 tahun. Potret itu merupakan potret Yesus yang pertama dilukiskan oleh Akiane.  

2. Potret itu berdasarkan penglihatan yang dialami oleh anak gadis itu. Akiane telah mula mendapat penglihatan syurga dan Yesus sejak dia berusia tiga tahun. Hal itu itu sangat menghairankan ibubapanya sebab ibubapanya ateis dan tidak pernah mengajarnya mengenai Tuhan. Akiane melukis potret Yesus itu berdasarkan penglihatan yang dialaminya sejak kecil. 


Akiane Kramarik dengan potret Yesus "Prince of Peace"

3. Anak gadis itu menunggu 2 tahun sebelum memulakan potret itu. Akiane ingin melukis potret itu sejak berusia 6 tahun tetapi dua tahun berlalu sebelum impiannya menjadi nyata. Pada suatu hari Akiane memberitahu keluarganya untuk berdoa agar dia mendapat model yang sesuai untuk melukis potret itu. Pada petangnya, tiba-tiba seorang tukang kayu mengetuk di pintu rumah untuk mencari pekerjaan. 

Dengan cepat Akiane melihat bahawa orang itu memiliki raut wajah yang sangat mirip dengan yang terdapat dalam penglihatannya. Tukang kayu itu pada mulanya enggan menerima permintaan Akiane, tetapi kemudiannya bersetuju dengan syarat dia tidak perlu dikenali umum. 

4. Potret itu mengambil masa 60 jam untuk disiapkan. Potret itu memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, dan telah mengambil masa 40 jam untuk diwarnakan, dan 20 jam lagi untuk melakarkan gambar dari model. Akiane pintar menggunakan teknik cahaya dan bayang-bayang untuk menghasilkan kesan yang menarik. 

"Bahagian wajahnya yang cerah melambangkan kebenaran, manakala bahagian yang gelap melambangkan penderitaan," kata Akiane.

Colton Burpo  bersama ayahnya Todd

5. Kesaksian Colton Burpo mengenai potret itu. Colton Burpo ialah kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dari Nebraska, Amerika Syarikat, yang telah mendapat penglihatan Yesus dan syurga selepas hampir maut pada tahun 2003. Ayah Colton yang sangat hairan dengan pengalaman anaknya, telah menunjukkan kepada Colton pelbagai gambar-gambar Yesus yang dapat dicarinya. Ayahnya bertambah hairan apabila anaknya mengatakan "Bukan" kepada semua gambar-gambar yang telah ditunjukkannya.

Pada suatu hari tanpa diduga, Colton terlihat suatu gambar Yesus di laptop ayahnya. Dia memberitahu ayahnya, "Itulah dia. Itulah Yesus." Dan gambar itu ialah potret "Prince of Peace" yang dilukiskan oleh Akiane. 

6. Setiap buku "Heaven Is For Real" mengandungi gambar potret itu. Apabila buku Heaven Is For Real yang ditulis oleh ayah Colton diterbitkan pada 2010, gambar potret "Prince of Peace" telah dimuatkan di setiap naskah buku itu yang menjadi bestseller di Amerika Syarikat. Buku itu telah dijadikan filem oleh Sony Pictures dengan tajuk yang sama, dan ditayangkan di pawagam sejak 16 April 2014.
Akiane dan Colton
7. Anak gadis itu kini berusia 20 tahun. Akiane yang kini berumur 20 tahun, telah dlahirkan di Mount Morris. Illinois, Amerika Syarikat pada 9 Julai 1994. Dia juga telah bertemu dengan Colton yang 5 tahun lebih muda daripadanya semasa satu rancangan televisyen yang telah mengundang mereka untuk ditemuramah.

"Lukisanku cuma satu penggambaran apa yang aku pernah lihat, kemuliaan Yesus itu jauh melebihi segala penggambaran," kata Akiane.