Pages

10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini




Oleh J. Lee Grady:

Saya dan isteri saya telah membesarkan empat orang anak perempuan - dan tiga daripada mereka sudah pun berkahwin. Kami menyayangi anak-anak menantu kami, dan jelas sekali Tuhan sendiri yang telah memilih setiap mereka sehingga sepadan dengan sifat-sifat dan personaliti anak-anak perempuan kami.

Saya selalu percaya bahawa Tuhan terlibat dalam hal menjodohkan. Kalau Dia boleh lakukannya untuk anak-anak perempuan saya, Dia boleh melakukannya untuk anda.

Pada waktu ini, saya ada beberapa kawan perempuan yang sangat ingin bertemu dengan lelaki yang tepat. Ada yang memberitahu saya bahawa calon pilihan tidak banyak di gereja mereka, jadi mereka mencuba di alam maya dengan online dating. Ada yang mengangkat tangan dengan hampa, dan tertanya-tanya samada masih ada lelaki Kristian yang baik untuk mereka. Mereka mula memikirkan samada mereka harus merendahkan standard pilihan mereka untuk mencari seorang pasangan.

Inilah nasihat saya: Jangan sesekali menerima yang bukan terbaik daripada Tuhan!Ramai wanita-wanita Kristian telah berkahwin dengan yang bukan pilihan Tuhan kerana ketidaksabaran telah mendorong mereka ke dalam perkahwinan yang tidak bahagia. Saya harap anda menerima nasihat saya sebagai seorang bapa: Anda lebih baik tidak berkahwin daripada bernikah dengan orang yang salah!

Mengenai "lelaki yang salah," berikut ini ialah 10 lelaki yang paling anda harus jauhi apabila mencari pasangan hidup; 

1. Orang yang tidak percaya. Sila tuliskan 2 Korintus 6:14 di atas sekeping kertas nota dan lekatkannya pada komputer di tempat kerja anda. Katanya, "Janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tak percaya. Sebab persamaan apakah terdapat antara kebenaran dan kedurhakaan? Atau bagaimanakah terang dapat bersatu dengan gelap?" Ini bukan suatu peraturan agama yang ketinggalan zaman. Itu adalah Firman Tuhan untuk anda hari ini.

Jangan izinkan daya tarikan, ketampanan, dan kejayaan kewangan seseorang lelaki (atau pun kerelaannya pergi ke gereja bersama anda) menyebabkan anda berkompromi dengan kebenaran yang anda tahu. "Dating penginjilan" tak pernah menjadi strategi yang bijak. Jika lelaki itu bukan seorang Kristian yang sudah dilahirkan kembali, keluarkan dia daripada senarai anda. Dia bukan yang sesuai untuk anda. Saya belum pernah lagi bertemu dengan seorang wanita Kristian yang tidak menyesali berkahwin dengan seorang yang tidak percaya. 

2. Orang  yang penipu. Jika anda mendapati lelaki yang anda sedang berdating telah membohongi anda mengenai masa silamnya ataupun dia selalu membuat helah menutupi kegiatannya untuk menyimpan rahsianya daripada anda, cepat-cepat lari dari dia. Perkahwinan harus dibina atas dasar saling mempercayai. Jika dia tidak boleh bercakap benar, putuskanlah hubungan sekarang sebelum dia mengejutkan anda dengan penipuan yang lebih besar. 

3. Orang yang playboy. Saya ingin untuk mengatakan bahawa jika anda bertemu dengan seorang lelaki yang kelihatan baik di gereja, anda boleh menganggap bahawa dia menjaga kesuciannya dalam hal seks. Tetapi itu bukan hakikatnya pada hari ini. Saya pernah mendengar cerita-cerita seram mengenai lelaki-lelaki bujang yang melayani dalam tim pujian dan penyembahan pada hari Ahad tetapi bertindak seperti Kasanova pada hari-hari lainnya. Jika anda berkahwin dengan seorang lelaki yang kaki perempuan sebelum hari perkahwinan, dia juga akan melakukan yang sama selepas perkahwinan.

4. Orang yang tidak bertanggungjawab. Terdapat ramai lelaki Kristian yang baik yang telah mengalami kegagalan dalam pernikahan bertahun yang lalu. Sejak penceraian mereka, mereka telah mengalami pemulihan daripada Roh Kudus, dan kini mereka mahu berkahwin lagi. Perkahwinan yang kedua boleh menjadi sangat berbahagia. Tetapi jika anda mendapati bahawa orang yang anda sedang dating itu tidak memberi penjagaan kepada anak-anaknya daripada perkahwinan yang lepas, anda sudah menjumpai satu kelemahan yang berbahaya. Sesiapa pun lelaki yang tidak bertanggungjawab akan kesilapan masa lampaunya atau tidak memberi penjagaan kepada anak-anak daripada perkahwinan lamanya tidak akan melayani anda dengan bertanggungjawab.

5. Orang yang penagih. Lelaki-lelaki yang pergi ke gereja tetapi yang ketagihan alkohol atau dadah telah belajar menyembunyikan masalah mereka - tetapi anda tidak mahu menunggu sehingga anda berbulan madu untuk mengetahui bahawa dia seorang peminum. Jangan pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mahu mendapat pertolongan untuk ketagihannya. Anda perlu bertegas dia perlu mendapat pertolongan secara profesional dan putuskan hubungan dengannya. Dan jangan masuk dalam perhubungan bergantungan di mana dia mendakwa bahawa dia memerlukan anda untuk bebas daripada ketagihannya. Anda tidak boleh mengubah dia.

6. Orang yang penganggur. Saya mempunyai seorang kawan perempuan yang menyedari selepas dia berkahwin dengan teman lelakinya bahawa dia tidak mempunyai rancangan untuk mencari kerja yang tetap. Lelaki itu telah membuat strategi yang hebat: Dia akan tinggal di rumah sepanjang hari dan bermain permainan komputer sementara isterinya yang mempunyai kerjaya profesional bekerja dan membayar semua perbelanjaan. Rasul Paulus memberitahu orang-orang di Tesalonika, "Jika seorang tidak mau bekerja, janganlah ia makan" (2 Tes 3:10). Peraturan yang sama juga terpakai di sini: Jika seseorang lelaki tidak mahu bekerja, dia tidak layak berkahwin dengan anda.

7. Orang yang terlalu asyik dengan diri. Saya dengan ikhlas berharap anda mendapat teman lelaki yang kacak. Tetapi berhati-hati: jika teman lelaki anda menghabiskan enam jam di gim setiap hari dan selalu muatkan gambar-gambar otot-ototnya di Facebook, anda mempunyai masalah. Jangan jatuh hati dengan seorang lelaki yang terlalu asyik dengan dirinya sendiri. Dia mungkin nampak tampan, tetapi jika seorang lelaki terlalu terpegun dengan penampilannya sendiri dan keperluan dirinya, dia tidak akan mengasihi anda secara berkorban, seperti Kristus mengasihi gereja (Efesus 5:25). Lelaki yang selalu memandang dirinya di cermin tidak akan memerhatikan anda.

8. Orang yang pendera. Orang lelaki yang mempunyai kecenderungan mendera tidak dapat menguasai kemarahan mereka apabila kemarahan mereka memuncak. Jika lelaki yang anda dating ada kecenderungan melepaskan kemarahannya, samada terhadap anda atau orang lain, jangan memberi alasan untuk kelakuannya. Dia mempunyai masalah, dan jika anda berkahwin dengannya anda perlu sangat berhati-hati setiap hari untuk tidak menimbulkan kemarahannya umpama berjalan di medan perang yang dipasang bom periuk api. Lelaki yang pemarah akan melukakan wanita - melalui kata-katanya dan kadang-kadang secara fizikal. Carilah seorang lelaki yang lemah lembut.

9. Orang yang masih keanak-anakan. Mungkin saya berfikiran kolot, tetapi saya was-was dengan lelaki yang masih tinggal bersama ibubapanya pada usia 35 tahun. Jika ibunya masih memasak untuknya, membersih dan menggosok baju untuknya pada usia itu, anda boleh pasti dia masih terperangkap dalam kepompong emosi. Anda mengundang masalah jika anda berfikir anda boleh menjadi isteri kepada seorang lelaki yang masih keanak-anakan. Undur diri, dan sebagai seorang kawan, galakkan dia mencari seorang mentor yang boleh membantu dia menjadi dewasa.

10. Orang yang terlalu pengongkong. Ada lelaki Kristian masa kini yang menganggap perkahwinan adalah mengenai kelebihan lelaki. Mereka mungkin akan menyebut Firman dan nadanya seperti sangat rohani, tetapi di sebalik wajah otoritas suami terletak ketidakyakinan dan kesombongan yang mendalam yang boleh berubah menjadi penderaan rohani. 1 Petrus 3:17 memerintahkan suami untuk melayan isteri sebagai teman yang setara. Jika lelaki yang anda sedang dating sering merendahkan anda dalam percakapannya, membuat komen menghina terhadap wanita, atau kelihatan menghimpit karunia-karunia rohani anda, undur diri sekarang. Dia hanya suka berkuasa. Wanita yang berkahwin dengan pengongkong tegar keagamaan biasanya berkesudahan dengan mimpi ngeri kemurungan.

Jika anda seorang wanita pilihan Tuhan, janganlah menggadaikan warisan rohani anda dengan berkahwin dengan lelaki yang tidak layak memiliki anda. Keputusan terbijak anda dalam hidup ialah untuk menantikan seorang lelaki yang sepenuh hidupnya untuk Yesus.

Guru-Guru Dalam Kes Penukaran Agama Pelajar Bawah Umur Di Sarawak Telah Dipindahkan

Guru-Guru Dalam Kes Penukaran Agama Pelajar Bawah Umur Di Sarawak Telah Dipindahkan

Datuk Sebastian Ting
MIRI: Dua orang guru yang terlibat dalam penukaran agama seorang gadis Kristian berusia 13 tahun ke Islam telah diberikan surat pertukaran rasmi keluar dari Sarawak.

Setiausaha agung Sarawak United People's Party (SUPP), Datuk Sebastian Ting berkata pada hari Selasa bahawa dia menerima pengesahan bahawa Kementrian Pendidikan telah pun menghantar surat pertukaran itu kepada kedua guru itu.

Ting berkata bahawa langkah kementrian itu untuk memindahkan dua guru itu keluar dari Sarawak akan membawa penutupan kepada kontroversi itu.

"Kita mesti sangat berhati-hati mengenai perkara yang sangat sensitif ini supaya tidak menimbulkan masalah yang tidak dingini yang boleh membawa kesan kepada keharmornian di kalangan  pelbagai kaum dan agama," dia memberitahu The Star Online.
Menteri Sarawak untuk Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah telah mengesahkan bahawa penukaran agama pelajar itu telah dilakukan tanpa persetujuan daripada ibu bapanya dan oleh kerana dia masih di bawah umur, penukaran agamanya tidak sah. 

Itu bererti statusnya kekal sebagai Kristian.

(Diterjemah daripada artikel The Star Online bertajuk, "Teachers In Conversion Row Transferred Out" penulisan Stephen Then bertarikh 31 Mac 2015)

Guru Sabah Dalam Kontroversi Penukaran Agama Telah Dipindah Ke Sekolah Agama Islam


Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip (tengah) memberitahu wartawan bahawa
guru dalam kontroversi penukaran agama telah dipindahkan ke sebuah sekolah agama Islam





KOTA KINABALU, 3 Mac - Guru Muslim yang telah menimbulkan kemarahan kerana didakwa cuba menukar agama seorang pelajar Kristian baru-baru ini telah dipindahkan ke sebuah sekolah agama Islam di Inanam, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip hari ini.

Perpindahan guru itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah telah disahkan bulan ini dan dilihat sebagai keputusan terbaik untuk semua pihak yang terlibat, memandangkan kemarahan umum dan gangguan melalui media sosial, tambahnya.

"Guru itu gembira dengan pertukaran baru ke sekolah agama Islam, dan ibu bapa juga berpuas hati. Inilah keputusan terbaik untuk semua orang dan memberi peluang untuk meredakan keadaan," pendidik senior itu memberitahu wartawan di Wisma Pendidikan hari ini.

Rakyat Sabah yang marah telah berkempen menentang guru itu, yang dulunya mengajar di SMK Kinarut di mana seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun didakwa telah bertukar agama ke Islam tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Mesej-mesej yang menjadi viral telah memuatkan nama dan sekolah guru itu, menggesa agar tindakan diambil dan agar ibu bapa yang lain berjaga-jaga terhadap sebarang aktiviti penukaran agama yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Jame berkata guru itu, seorang ustazah, telah menerima SMS melalui telefon yang mengganggunya dan menyalahkannya untuk kejadian itu dan bahawa memindahkannya ke sebuah sekolah agama Islam adalah jalan terbaik baginya.

"Kedua-dua guru itu dan suaminya, yang masing-masing merupakan pribumi Sabah dari Tuaran dan Kota Belud, telah dipindahkan ke sekolah baru itu," katanya.

Kontroversi itu terdedah awal bulan ini apabila penoreh getah berusia 46 tahun, Jilius Yapoo membuat laporan polis yang mendakwa bahawa anak perempuannya telah ditukar agama ke Islam semasa di asrama sekolah SMK Kinarut.

Pelajar itu, yang asalnya seorang Kristian dari gereja Sidang Injil Borneo, dilaporkan telah mengucap kalimah syahadah untuk mengisytiharkan penerimaannya terhadap Islam dan memakai tudung tanpa pengetahuan ibubapanya.

Kejadian itu didakwa telah disaksikan oleh bekas warden asrama sekolah tersebut, namun begitu Jame hari ini menolak khabar angin itu.

Guru itu telah dipindahkan ke SMK Tamparuli pada penghujung tahun lepas sebelum kejadian itu dilaporkan.

Mengikut siasatan jabatan, gadis 16 tahun itu telah membuat keputusan memeluk Islam atas keinginannya sendiri dan dan dengan itu jabatan telah menyatakan guru itu tidak bersalah. 

Bapa kepada anak itu, Jilius, masih dalam proses untuk memindahkan empat orang anaknya, termasuk anak berusia 16 tahun di tengah kontroversi itu, ke sebuah sekolah lain dengan asrama yang ditadbirkan oleh rahib-rahib Katolik.

"Ke mana-mana saja sekolah yang mereka ingin pergi, kita akan berikan kerjasama dan sokongan, selagi mereka rasa selesa," kata Jame. 

Adalah dimaklumkan oleh saudara-mara keluarga itu, keempat-empat pelajar itu, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Empat akan berpindah ke SMK Kiulu dengan bantuan seorang penaja yang tidak ingin dinamakan. 

"Mereka telah secara rasmi meninggalkan SMK Kinarut dan akan bermula di sekolah baru minggu depan," kata saudara keluarga itu dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Michael Frederick.

Menurut undang-undang, agama seorang anak yang di bawah umur adalah ditentukan oleh ibu bapanya. Di bawah undang-undang agama, mengucapkan kalimah syahadah mencukupi untuk menjadikan seseorang Muslim, tetapi tidak di bawah perlembagaan, yang menyatakan bahawa anak di bawah umur memerlukan persetujuan dari ibubapanya.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Teacher In Alleged Conversion Row Now In Islamic Religious School" penulisan Julia Chan bertarikh 3 Mac 2015)

Dia Muslim, Kata Jabatan Pendidikan; Dia Bukan, Kata Polis


Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip berkata gadis yang terbabit telah berminat
untuk belajar bagaimana untuk mengucapkan kalimah syahadah oleh kerana dia telah
mengambil pengajian Islam sejak Tingkatan Satu (Gambar The Rakyat Post)

Kekeliruan semakin memuncak berikutan percanggahan fakta mengenai status agama seorang pelajar 16 tahun, dengan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan mengesahkannya sebagai Muslim, manakala polis mengatakan yang sebaliknya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip telah mengatakan bahawa remaja itu relah secara rela memeluk Islam.

Dia mendakwa bahawa remaja itu yang telah memanggil warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut supaya dia boleh mengucapkan kalimah syahadah di hadapannya. 

Berkata kepada wartawan, Jame berkata bahawa anak gadis tersebut berminat untuk belajar bagaimana untuk mengucap kalimah syahadah oleh kerana dia telah mula mengambil pengajian Islam sejak Tingkatan 1. 

"Tidak seorang guru atau mana-mana kumpulan dibenarkan mempengaruhi mana-mana pelajar untuk memasuki mana-mana agama."

Dia juga berkata bahawa pengetua sekolah juga telah menasihatinya untuk membuka tudungnya oleh kerana dia bukan Muslim. 

Pelajar itu, katanya, enggan untuk mendengar dan terus memakai tudung itu.

Sambil menyatakan bahawa dia menyerahkan status agamanya kepada pihak berkuasa Islam negeri, Jame menerangkan bahawa remaja itu telah belajar mengenai Islam daripada kawan-kawannya dan guru-gurunya.

Dia menekankan bahawa tidak ada orang yang menyakinkannya atau memaksanya untuk memeluk agama itu. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman, sementara itu memberitahu bahawa siasatan mereka mengenai insiden itu mendapati bahawa remaja itu masih seorang Kristian.

Dia telah disebut dalam The Star Online sebagai berkata bahawa pelajar itu hanya mengamalkan gaya hidup Islam.

Dia telah mengucapkan keinginannya untuk masuk Islam sejak dia berada di Darjah Enam," dia telah disebut berkata demikian.

Dia berkata siasatan telah dijalankan selepas ayah gadis itu membuat laporan polis. 

Ayah remaja itu, Jilius Yapoo, 46 tahun, telah membuat laporan polis setelah diberitahu bahawa anak perempuannya, anak kedua daripada lapan adik beradik, telah masuk Islam. 

Sementara undang-undang sivil mungkin tidak menerima pertukaran agamanya, undang-undang syariah menerima pertukaran agama itu kerana dia telah mengucapkan kalimah syahadah dua kali di hadapan warden asrama sekolah, yang kini sudah dipindah ke sekolah yang lain. 

Jilius telah menyatakan keinginannya untuk memindahkan anak perempuannya dan tiga lagi anaknya (dari umur 13 hingga 15 tahun) keluar dari sekolah itu.

Dia menegaskan bahawa anak perempuannya harus kekal sebagai Kristian sehingga dia mencapai 18 tahun, selepas itu dia boleh membuat keputusannya mengenai agama pilihannya, seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

(Diterjemah daripada artikel The Rakyat Post bertajuk, "She's A Muslim, Says Education Department; She's Not, Says Police" penulisan Sandra Sokial bertarikh 12 Februari 2015)